Rabu, 21 Disember 2011

BELAJAR DENGAN SYAITAN ?





Aku adalah seorang yang suka membaca, setiap kali ada masa lapang aku pasti membaca buku. Setiap bulan aku akan membeli sekurang-kurangnya sebuah buku, untuk dibaca. Hidup ku dengan membaca dan buku sudah tidak dapat dipisahkan. Sehari tidak membaca buku, aku akan merasa kekurangan. Apatah lagi dalam masa semingggu.
Sedang aku menumpukan perhatian, membaca apa yang tertulis pada muka surat buku tersebut. Tiba-tiba Faiz yang duduk disebelahku bersuara.
"Belajar tu, jangan asyik baca buku saja, bertanyalah juga dengan guru!"
"Kalau belajar tanpa guru, nanti belajar dengan syaitan!" Tambah Amar yang duduk dibelakang ku.
Aku sudah biasa mendengar orang menegurku sebegitu. Ini bukan kali yang pertama. Entah buat kali yang ke berapa, aku sudah lupa, kerana aku sendiri tidak menghitungnya.
"Ya, jangan risau. Bukankah selama ini kita belajar bersama-sama di dalam kelas ni?" Aku menjawab teguran Faiz dan Amar.
Aku bukanlah menafikan kata-kata mereka berdua secara seratus peratus. Apa yang mereka ucapkan itu ada benarnya juga. Belajar itu sememangnya perlu berguru. Sangat mustahil bagi seseorang itu mempelajari sesuatu ilmu, tetapi tanpa berguru. Selama ini pun, aku belajar agama bukannya secara sendiri, melainkan aku berguru. Tapi, tidak perlulah aku sibuk untuk menghebohkan atau menyebutkan satu persatu nama guru-guruku kepada mereka. Kebanyakan manusia sememangnya suka bercakap mengikut suka hatinya tanpa berfikir panjang.
Hari ini segelintir orang yang berpandangan sempit, telah membataskan pengertian belajar. Bagi mereka belajar yang sebenarnya hanyalah belajar dihadapan guru sahaja. Apabila mereka melihat seseorang yang asyik membaca buku, mereka akan berkata kepadanya "Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!".
Aku merasa tidak keterlaluan, sekiranya aku beranggapan, orang yang berkata begitu sebenarnya, adalah orang yang diserang penyakit malas. Malas membaca, menelaah dan mengkaji. Kata-kata 'barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!' tidak lain hanyalah slogan kosong untuk dijadikan alasan bagi sikap mereka yang malas membaca. Mereka lupa bahawa para ulama dahulu adalah orang yang kuat membaca kitab, beribu dan berjilid-jilid kitab mereka telaah. Adakah semua kitab itu mereka baca daripada lembaran ke lembaran didepan gurunya? Jawapannya sudah tentu tidak.
Namun begitu, walaupun suka membaca, jangan pula kita lupa untuk belajar secara berhadapan dengan guru agama yang diiktiraf keilmuaannya, berpandukan Al-Qur'an dan As-Sunnah di atas fahaman Salafus Soleh. Kita perlu bijaksana dalam mengimbanginya. Itulah peganganku dalam menuntut ilmu.
"Kalau belajar tanpa guru adalah belajar dengan syaitan, maksudnya kalau kita belajar dengan guru, kita belajar dengan malaikat? Begitukah?" Aku menyoal Faiz dan Amar dengan nada berjenaka. Secara logiknya, sekiranya kita terbalikkan kata-kata Amar tadi, maka begitulah maknanya.
Faiz dan Amar terkejut dengan kenyataanku. Mungkin tersedar bahawa, kata-kata mereka tadi ada silapnya.
"Sebenarnya kata-kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan" itu daripada mana datangnya?" Sebelum mereka sempat menjawab soalan yang ku ajukan tadi, soalan seterusnya menyusul. "Adakah ianya hadis Rasulullah s.a.w atau pun kata-kata manusia yang tidak terpelihara?"
"Entah, aku pun tak tahu!" kata Amar selamba. "Tapi banyak orang cakap macam tu aku dengar!"
Amar cuba mengukuhkan kata-katanya dengan menjadikan kata-kata orang ramai sebagai sokongan. Faiz pula hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
"Yalah, memang banyak orang cakap macam tu. Aku pun pernah dengar juga. Tapi, itu tidak menjadi petanda apa yang orang cakapkan itu adalah benar!" Aku membantah kata-kata Amar. Raut wajahnya mula berubah, dia memang pantang dibantah.
"Pada pandangan aku kita perlu nilai semula kata-kata itu." Aku menutup buku ditanganku, lalu memasukkannya ke dalam meja. Amar dan Faiz saling berpandangan antara satu sama lain.
"Belajar dengan guru tidaklah menjamin, bahawa setiap apa yang dipelajari oleh seseorang itu pasti benar seratus peratus. Ini kerana, guru tempat kita belajar itu bukanlah nabi atau rasul yang maksum, terpelihara daripada silap dan salah! Mereka juga manusia biasa, mereka boleh tersilap dan tersalah. Begitu juga dengan kita."
"Bila kita lihat secara realitinya, ada di antara manusia itu, walaupun dia belajar secara berguru, tapi dia tetap termasuk ke dalam golongan orang yang tersesat. Ini kerana, guru tempat dia belajar itu rupanya adalah orang yang sesat!" Aku menambah lagi.
Sedang aku, Faiz dan Amar bertukar fikiran, rakan-rakan yang berada disekeliling kami mula menghampiri. Rakan-rakanku memang pantang melihat perbincangan agama, pasti mereka ingin turut serta, sama ada dengan menyumbangkan pandangan atau mendengar dengan penuh perhatian.
"Betul juga tu! Aku setuju!" Faizal menyampuk.
Amar mengerling Faizal, raut wajahnya menunjukkan dia tidak berpuas hati. Faizal cuba membalas pandangan Amar dengan senyuman yang tidak bersalah.
"Yalah. Betul juga kau cakap tu!" Akhirnya Amar mengalah. Dia tidak dapat menafikan kebenaran kata-kataku. "Memang belajar dengan guru itu tidak menjamin apa yang kita pelajari benar seratus-peratus. Tapi kita perlu faham, kalau kita belajar dengan guru, bukankah lebih bermanfaat. Malah langkah pembelajaran kita pun akan menjadi lebih mudah. Mungkin ada penjelasan yang tidak dinyatakan di dalam buku, tapi guru kita mengetahuinya!"
Aku diam seketika. Berfikir.
"Ya, aku setuju. Memang tidak boleh dinafikan belajar dengan guru itu mempunyai manfaat dan kelebihannya yang tersendiri, yang ianya tidak ada pada orang yang belajar dengan asyik membaca buku."
"Cuma yang aku tidak setuju, bila kau kata "barang siapa belajar tanpa guru, maka dia belajar dengan syaitan", sebab kata-kata kau tadi tu seolah-olah menghalang orang daripada membaca dan mengkaji daripada buku-buku, dan hanya mencukupkan diri dengan belajar secara berdepan dengan guru." Setelah menjelaskan persamaan pandangan antara aku dengan Amar, aku pun menjelaskan titik perbezaan pandangan antara kami.
"Ulama dahulu pun belajar berguru juga, tapi pada masa yang sama mereka tidak meminggirkan pembacaan daripada kitab-kitab. Para ulama dahulu terdiri daripada pencinta buku. Mereka membaca beribu-ribu jilid kitab dan risalah. Perkara ini kita boleh lihat dalam kitab, Kaifa Tatahammas li Thalibil 'Ilmisy Syar'i karya Syaikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shaleh, yang telah diterjemahkan dalam bahasa melayu dengan tajuk Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu."
"Apa yang penting sebenarnya, kita seimbangkan. Kita belajar dengan guru, kita juga membaca buku. Apabila tidak faham kita berbincanglah dengan guru, atau sesama penuntut ilmu."

Faiz dan Amar hanya senyum mendengar kata-kataku. Rakan-rakan yang lain bergegas kembali ke tempat masing-masing, kerana kelihatan Ustaz Amri yang akan mengajar kami subjek Usul Feqh sebentar lagi, sudah pun berada diluar kelas. Sejurus selepas itu Ustaz Amri pun masuk ke kelas, dan sesi pembelajaran bagi subjek Usul Feqh pun bermula.
"Barang siapa yang belajar tanpa guru, maka syaitanlah gurunya!"
Ada segelintir orang menyangka bahawa kata-kata ini adalah hadis Rasulullah s.a.w, tetapi hakikatnya kata-kata sebegini tidak pernah diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w secara shahih.

Biodata Kolumnis
Suhili Nain merupakan seorang graduan Pusat Latihan Dakwah Kudat (2008) dan Pusat Latihan Dakwah Keningau (2009-2010). Kini beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah, Kuala Menggatal. Beliau menulis di cerpendakwah01.blogspot.com.

Selasa, 20 Disember 2011

BANK DUNIA vs BANK AKHIRAT

Kehidupan zaman moden pada hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tidak kiralah pengorbanan dari segi harta, pangkat ataupun masa. Hatta, ada yang melakukan pengorbanan yang tidak patut dilakukan, demi menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.
Dunia hari ini juga memerlukan seseorang terus berlabur dalam setiap masa. Wang menjadi taruhan. Kita lihat situasi ini.
Situasi A
Insan I  : Eh bro, takkan makan maggi je kot.
Insan II :
Bro, aku nak berjimat kot. Tambah duit dalam bank. Nanti aku gak yang senang. huhu
Insan I  :
Kalau ye pun nak jimat, jagalah permakanan bro.
Insan II :
Ye laa..
Situasi ini sepertinya agak familiar dalam kalangan kita. Maka,kita mengetahui bahawa,manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kesenangan. Wang dan harta selalu menjadi subjek utama dalam kehidupan. Memang tak dinafikan.
Duit..Duit
Ungkapan 'No money no business' menjadi pegangan setiap orang yang mempunyai 'fikrah' "duit adalah segalanya". Namun,duit bukanlah segalanya, tetapi segalanya memerlukan duit.Maaf,pembetulan.Sesetengah perkara memerlukan duit. Kenapa sesetengah? Kenapa bukan segalanya memerlukan duit?Ya,benar sekali.Tidak semestinya untuk hidup bahagia, kita perlukan duit. Tidak semestinya, nak berubah ke arah kebaikan memerlukan duit. Tidak semestinya, nak buat kebaikan memerlukan duit melainkan sedekah dan sebagainya. Dan untuk masuk ke SYURGA, tidak bawa pun duit.
Selalu juga kita dengar quote 'No money no business'. Sekarang, kita tukar. 'No amal soleh, no barakah'.Atau bagaimana?Membuat amal soleh, amal kebaikan merupakan pelaburan kita yang utama dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. Pengabdian diri kepada Allah adalah penting. 
Firman Allah yang bermaksud:-
" Aku tidak menjadikan manusia dan jin melainkan hanyalah untuk beribadah kepada-Ku "- surah Az-Zariyat (Ayat 56)
Allah berfirman lagi yang bermaksud:-
"...Sungguh, orang yang mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa." - surah Al-Hujurat (Ayat 13)
Jadi, untuk menjadi orang yang bertaqwa, kita mestilah mengikut segala perintah Allah, tinggalkan larangan Allah. Penuhkan Bank Akhirat dengan amal-amal soleh dan segala jenis kebaikan. Kita tidaklah memerlukan wang untuk membuat amal kebaikan. Modalnya hanyalah diri kita sendiri dan pengorbanan masa yang kita ada hanyalah untuk Allah.

Kembali ke jalan yang benar.
Situasi B
Insan I : Bro, kebelakangan ni kan, aku tengok kau dah banyak berubah lah. Semakin alim-alim camtu. Tambah lagi, kau banyak terlibat dengan aktiviti agama, ajak orang sana sini. Apa rahsianya?
Insan II :
Bro, aku berubah kerana Allah. Bila aku tengok balik 'buku akaun' amal aku kan, tak banyak sangat 'duit' aku untuk pelaburan akhirat. Kita ni tak tahu bila mati. Jadi, muda-muda camni lah nak kumpul 'duit' untuk akhirat. Jom ikut aku. Tak payah takut. Duit dalam Bank Dunia kau tu tak terjejas pun, tapi kan, duit dalam Bank Akhirat kau tu akan bertambah. InsyaAllah. (sambil tersenyum)
Insan I : *Insaf*
Jadi, kita bila lagi? Bank Akhirat menanti untuk diisi sebaik-baiknya.


::PAKSI HATI::

Fahim berteleku di sejadah. Matanya merenung jauh ke mimbar masjid. Berfikir. Merenung kembali hatinya yang terasa parah kerana dunia. Dia memandang kepada Izat yang baru bangun dari solat sunat selepas Isyak. Izat yang merangkap teman sebiliknya selama dua semester mereka belajar di universiti ini dilihat melangkah ke arahnya.
Seorang sahabat yang mulia adalah yang membawa sahabatnya ke jalan Tuhan. Subhanallah, Fahim bersyukur dianugerahkan peluang mengenali Izat, hanya dengan melihat ke wajah Izat sudah mampu membuat dia rasa sejuk hati.
Bagai mana agaknya pula apabila orang pandang muka dia ya?
Izat menghulurkan tangan bersalaman lantas disambut Fahim. Izat tersenyum, dia seakan dapat merasa gejolak hati sahabatnya ini. Resah dan gelisah terpancar dari sinar matanya yang redup. Izat menepuk perlahan bahu Fahim.
Fahim tidak mengangkat muka, tidak berani menentang pandangan sahabat yang sangat disegani itu. Pada diri Izat, dia nampak acuan al-Quran yang dipegang, dia terbayang sunnah Rasulullah S.A.W yang dijadikan amalan oleh Izat.
"Im, okay ke tak?" Izat mula bersuara.
Dia tahu, Fahim ini jenis yang kalau diasak baru hendak buka cerita, jika tidak tidak payah mengharap.
Fahim tersenyum tawar.
"Kenapa kau tanya macam tu? Aku tak nampak okay ke?" Fahim tahu, Izat seorang yang mudah membaca hati orang lain. Tidak perlu detail, dia dah summarize siap-siap dalam otak apa saja yang terjadi.
Izat tergelak kecil. "Dah macam berjalan atas angin, kadang termenung, kadang nampak macam nak menangis. Kalau tu kau kata masuk dalam kategori okay, betul la tu kau okay."
Fahim tidak beriak apa-apa. Lama dia diam, Izat pula memberi ruang.
"Hati aku sakit, Zat."
"Dunia?" Izat melihat Fahim mengangguk perlahan. Dilihat mata Fahim mula berkaca.
Digosok perlahan belakang sahabatnya ini.
"Kalau pada sudut student macam kita ni, yang boleh jadi masalah cuma pasal kewangan, study, family, kawan dan kaum muslimat. Kalau aku tak silap, berdasarkan penelitian terhadap faktor di atas, aku teka yang buat hati kau sakit ni, hal yang menjadi fitnah terbesar bagi muslimin?"
Fahim tersenyum, sudah aku katakan. Bionic betul si Izat ni, boleh tembus otak dan hati orang.
Izat kalau dalam cakapnya, mesti tersusun dan teratur. Siap mimik muka yang menandakan dia berfikir bersungguh-sungguh tentang perkara itu. Izat... Izat...
"Im, sebab tu Rasulullah S.A.W kata, fitnah terbesar bagi kaum kita adalah muslimat. Oleh kerana kita dah tau, kita kena siap untuk hadapi fitnah tu, Im. Jangan bagi kita tersungkur dalam fitnah yang kita dah tahu bahayanya." Izat menepuk bahu Fahim
Fahim semakin tenang mendengar Izat mengalun ayat 14 Surah ali-'Imran berserta maksudnya:
"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik."
"Hati kau sakit, mengikut perkiraan aku yang masih kurang ilmunya ini, sebab kau rasa perasaan yang wujud terhadap seorang muslimat itu indah dan teruk tunduk kepada rasa itu. Rasa suka itu tak salah, Im. Kurniaan daripada Allah S.W.T, fitrah manusia. Tapi yang membuatnya salah adalah apabila kita meletakkan rasa indah terhadap ciptaan-Nya itu tersikit ke hadapan berbanding pada Pencipta itu sendiri."
Fahim menunduk. Dia malu, dia tidak sehebat Izat. Izat bukannya lepasan Maahad mahupun sekolah agama, tetapi seribu kali lebih baik daripada dia yang belajar di sekolah agama dulu.
Izat seorang yang tenang, jika dia tidak senyum pun, nampak muka seperti senyum Smiling face orang kata.
Izat tak macam dia,yang diganggu gangguan cinta dunia. Sungguh,dia sangat-sangat segan dengan anak muda di sebelahnya ini.
"Im, aku tak sehebat macam yang kau sangka. Aku pun manusia, kadang-kadang terjatuh dalam jurang dunia. Tapi, bila kita tahu Iman kita makin merudum, kita patut cari balik paksi hati. Iaitu tak lain hanya pada Ilahi." Izat merenung kepada Fahim yang semakin hilang sinar gelisah, tidak seperti awal-awal tadi.
"Aku dah cuba tak pandang wajah dia, Zat. Aku dah cuba tak ingat, dah cuba buang. Tapi, kuliah aku banyak sama dengan dia. Nak elak, tapi terpandang jugak." wajah Fahim kembali tegang.
Firman-Nya dalam surah an-Nur ayat ke 30:
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kehormatannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
"Jangan jadikan semua itu sebagai satu sebab yang buat kau tunduk pada godaan syaitan, Im. Dia dah cakap dalam surah an-Nur. Insya0Allah, kau kena mujahadah untuk betul-betul tundukkan pandangan. Allah tahu Im, usaha kita takat mana. Dia sedang uji, nak beritahu tanda Dia sayang."
Fahim hanya diam tidak berkutik.
Ayat 36 Surah Muhammad:
"Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu. Dan Dia tidak meminta hartamu."
Dunia, equal to a game and a joke. Angan kosong yang kau rasa pada si dia, cuma satu permainan dan gurauan dunia, Im. Sebab angan kosong tu tak letakkan Allah sebagai raja, tapi nafsu itu sebagai raja."
Fahim menitiskan air mata. Dia tahu, dia sudah jadikan nafsu dan angan kosong tiupan syaitan itu sebagai raja. Jahatnya dia, kerana itulah rasa sakit. Sakit kerana dia tidak letakkan Allah S.W.T pada paksi hatinya.
Bibirnya beristighfar. Dia dah melebih-lebih sangat dalam soal ini. Padahal mama dan walid hantar dia ke sini untuk mencari ilmu, bukan untuk tunduk dengan perasaan.
"Kau...betul suka dia?" Izat teragak-agak bertanya. Ish, soalan sensitif ni. Kena pakai psikologi. Hehe.
Fahim mengangkat muka, hendak tergelak dia dengar soalan yang keluar dari mulut Izat yang tidak pernah berbicara soal hati dan cinta manusia ini.
"What? Apa pandang-pandang, gelak je ler kalau nak gelak. Aku pun manusia,okay? Soalan normal tu. Nak jawab, jawab. Tak nak, up to you." Izat mencebik bibir.
Terlepas gelak kecil daripada Fahim. Untungnya siapa dapat Izat. Izat yang penuh ilmu dan Iman, penuh santai dan sempoi. Dia selalu cakap dekat Izat, mesti bakal isteri Izat nanti perfect macam Izat jugak.
Tetapi Izat selalu merendah diri dan selalu cakap, semua ini milik Yang Esa dan tidak ada manusia yang perfect seperti Rasulullah S.A.W. Betul, dia selalu disedarkan tentang khilafnya,.hanya dengan tingkah bicara Izat.
"Entahla Zat. Nak cakap suka, tak berani. Nak cakap tak suka, entah aku pun tak tahu."
"Kalau kau suka dia, kau tahu apa patut kau buat?" Izat merenung ke hadapan masjid.
"Kau nak suruh aku pinang dia? Aku...tak sedia lagi Zat." Bulat mata Fahim, terkejut dengan saranan yang bakal disuarakan Izat.
"Ish, ish. Itulah, kalau orang cakap, jangan menyampuk. Ada aku suruh jawab soalan?" Izat menggeleng-geleng kepalanya.
"Dah kau tanya, aku jawab la." Fahim mencebik.
Izat tergelak kecil. "Macam ni, kalau suka dia, jaga la dia."
Fahim merenung Izat. Tanpa riak.
"Aku tak habis cakap lagi. Aku nak kata, jaga dia dengan menundukkan pandangan kau. Kalau kita sayang seseorang, kita mesti nak dia selamat sejahtera kan? Jangan buat dia jadi fitnah dalam hati kita. Jangan buat dia terperasan yang kau ada hati pada dia, boleh?"
Fahim kembali mengangguk perlahan. "Jodoh bagi hati adalah hati jugak, kan Zat?"
"Dan pemilik hati itu siapa, wahai sahabatku?" Izat menjeling Fahim yang sedang menunduk.
"Rabbul Izzati, Yang Tertinggi." Fahim menjawab perlahan.
"Good boy! Jadi, kalau nak, mohon pada Dia, cinta pada Dia saja. Insya-Allah sejahtera dunia Akhirat." Izat tersenyum.
Fahim mengangkat muka. "Jazakillah ya akhi, kau tak tau bersyukurnya aku ada sahabat macam kau."
"Alhamdulillah, hadza min fadhli Rabbi, Im. Sama-sama kita betulkan andai tersilap langkah." Izat bangun melipat sejadah yang digunakan Fahim tadi.
"Jom, aku banyaaaakkk sangaaaatttt amaaatttt background reading tak buat lagi. Nak stay tak?" Izat meletak sejadah di dalam almari masjid.
"Jom! Lepas tu qiam sama eh!"
Fahim melingkarkan tangan ke bahu Izat. Bersama-sama melangkah dengan semangat yang baru. Cinta pada Dia sahaja. Insya-Allah, yang lain bakal cinta pada mereka juga.
Bahagia bukan, andai Allah S.W.T itu menjadi paksi hati. Bersahabat hanya kerana mencari redha-Nya.

Jumaat, 9 Disember 2011

Buat Yang Sudi Mendengar Nasihat ^_^

ASSALAMUALAIKUM .... (^_-)
HMM .. RASENYE DAH LAMA SAYA TINGGALKAN BLOG NI,, DAH BERHABUK AGAKNYE HEHE ... ALHAMDULILLAH HARI NI SAYA DIBERI KESEMPATAN UNTUK MENULIS BLOG .. ENTRY KALI NI SEKADAR MEMBERI NASIHAT KEPADA UMAT ISLAM DI MUKA BUMI INI..

Baca Dan Muhasabah Diri Kita ..

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.
...
Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,
mengotori seluruh rumah kita.

Jangan makan dan minum dalam
bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah
digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan.

Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal
(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu
berkat).

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan.
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam perjalanan.

Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.

Jangan bergaul bebas ditempat kerja.
Banyak buruk dari baiknya.

Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa
kerana mati boleh datang bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf
pada ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan taulan.
Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita.
Nanti kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.

Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.

Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.

Jangan biasakan berbohong,
kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan.
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya


hmm ,, akhir kata dari saya ,, RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL (^_^)v